Tanya Jawab

Tajuk : Berikut adalah beberapa soal jawab yang pernah tersiar dalam akhbar Harakah berkaitan makhluk halus. Persoalan ini dijawab sendiri oleh Tuan Guru Dato Dr.Harun Din dan sempat dibukukan dalam buku yang bertajuk Menjawab Persoalan Makhluk Halus yang diterbitkan pada 2009.Semoga apa yang tersiar melalui ruangan ini semuanya menjadi bahan panduan ataupun sempadan kepada kehidupan kita sebagai muslim khususnya dalam menangani beberapa persoalan yang berkait dengan  ikhtiar berubat cara Islam.


Soalan: 
ADAKAH MAKHLUK HALUS BENAR-BENAR WUJUD?

Saya pernah mendengar pertengkaran yang hebat di antara seorang yang berpendidikan tinggi dari barat dengan seorang yang berpendidikan agama mengenai kepercayaan kewujudan makhluk halus seperti hantu, jembalang, toyol dan sebagainya. Adakah makhluk ini benar-benar wujud? Masing-masing menegakkan hujah namun tidak ada penyelesaiannya. Apakah pandangan dan komen Ustaz mengenai perkara ini?

Jawapan:
Persoalan yang saudara kemukakan ini sememangnya berlaku dalam masyarakat kita pada hari ini yang kebanyakannya berpegang kepada ilmu pengetahuan sains moden yang berorientasikan logik akal bahawa sesuatu itu wujud jika ia dapat dilihat atau dirasai. Jika tidak, bagi mereka sesuatu itu tidak wujud.
Persoalan ini merujuk kepada penggunaan istilah sama ada hantu jembalang, toyol atau sebagainya. Saya cuba melihat perkara ini dengan lebih halus. Dalam Kamus Dewan, makhluk halus diertikan sebagai hantu, bunian, jembalang, pontianak, langsuir, palesit yang merupakan roh jahat yang merasuk dan melakukan pelbagai kemudaratan kepada manusia.

Semua istilah ini terkenal dalam budaya masyarakat Melayu. Bagi masyarakat lain seperti Arab, mereka menggunakan istilah seperti al-Jinn, jinni, jinnah , syaitan, iblis, Ifrit dan sebagainya.
Dalam kamus Arab yang terkenal seperti al-Munjid, Lisan al-Arab, Mukhtar al-Sihah dan lain-lain menyatakan erti bagi isitilah yang disebutkan di atas bermaksud, roh-roh kotor atau jahat yang melakukan kejahatan secara tersembunyi dan menakutkan anak-anak Adam dengan pelbagai cara.
Kedua-dua Kamus Dewan dan Arab ini merujuk kepada istilah yang sama. Nama-nama makhluk halus yang terkenal dalam masyarakat Melayu tersebut sama dengan nama-nama yang disebut oleh masyarakat Arab, iaitu suatu makhluk yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar, atau hanya boleh dilihat dalam keadaan tertentu sahaja.

Sekiranya kita merujuk kepada al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW, kita akan menemui istilah yang sama. Al-Quran menyebut syaitan atau syayatiin, jin atau jinnah, qarin, iblis , ifrit dan sebagainya. Dalam hadis yang sahih kita akan berjumpa dengan istilah Ummu Sibyan, Khanzab, Aamir, `Ammar, Alwalahan, Mukhannas dan Mukhannathuun. Semua istilah ini sama ada dalam al-Quran dan hadis merujuk kepada wujudnya makhluk-makhluk halus ataupun roh-roh jahat yang mengganggu manusia dengan pelbagai cara.

Disebutkan juga dalam hadis yang sahih bahawa Rasulullah SAW telah bertemu dengan masyarakat jin untuk menjelaskan ayat-ayat al-Quran. Hadis daripada Ibnu Abi Hatim yang diriwayatkan daripada Mujahid menceritakan Nabi SAW telah bertemu dengan masyarakat jin untuk berdakwah.

Kesimpulannya, makhluk halus itu memang wujud dan wajib dipercayai. Pada pandangan saya, yang membezakan hanyalah pada istilah atau terjemahannya sahaja sedangkan kesemuanya adalah makhluk yang sama.

Sama ada hantu, jembalang, jin tanah, palesit, bunian dan sebagainya ialah makhluk halus yang wajib dipercayai kewujudannya sebagaimana yang disebutkan dalam al-Quran. Tidak mempercayai ayat al-Quran boleh membawa kepada kerosakan aqidah.

Soalan:

BOLEHKAH MAKHLUK HALUS MENYEBABKAN PENYAKIT?

Adakah makhluk halus berupaya mendatangkan kesengsaraan kepada manusia seperti penyakit dan sebagainya?

Jawapan:
Persoalan ini memerlukan kepada kesedaran asas bahawa alam ini tidak hanya didiami oleh manusia atau makhluk-makhluk zahir sahaja, malah Allah SWT menjadikan alam ini sebagai tempat tinggal makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Kisah Nabi Ayub yang menghadapi penyakit fizikal yang dasyat ketika itu adalah berpunca daripada sentuhan atau penangan syaitan.

Dalam surah al-Baqarah ayat 102 mengisahkan tentang ilmu sihir yang diajarkan oleh syaitan kepada manusia. Ilmu sihir tersebut hanya boleh membawa kemudaratan dan tidak memberi sebarang manfaat pun kepada manusia.

Rasulullah SAW turut memohon dalam doa baginda dengan menyebut suatu ayat iaitu “ memohon perlindungan Allah SWT daripada gangguan syaitan yang boleh menyebabkan kesakitan.

Hadis yang diriwayatkan oleh `Ata` bin Abi Rabah menceritakan perihal seorang perempuan dat ang menemui Rasulullah SAW, mengadu kesakitan dan kesengsaraan angkara perbuatan jahat syaitan.

Hadis Ya’la bin Murrah pula menceritakan tentang seorang budak lelaki yang mengalami penyakit al-Lamam (seperti gila) disebabkan gangguan syaitan

Hadis Othman ibn Abi al-‘As yang mengadu kepada Rasulullah tentang kesakitan yang menimpanya menyebabkan dia tidak dapat bertugas. Rasulullah SAW memberitahu bahawa itu adalah angkara syaitan.

Banyak lagi hadis-hadis sahih yang menunjukkan hal-hal seperti itu benar-benar berlaku.

Kesimpulannya, berdasarkan dalil al-Quran dan hadis yang disebutkan membuktikan bahawa makhluk halus ini berupaya melakukan perkara-perkara yang mendatangkan penyakit kepada anak Adam sekiranya diizinkan oleh Allah SWT.

Soalan:

APAKAH JENIS PENYAKIT BAWAAN MAKHLUK HALUS?

Saya pernah membaca dalam beberapa siri penulisan termasuk penjelasan yang telah Ustaz berikan dalam Harakan keluaran yang lepas tentang makhluk halus (jin, syaitan dan sebagainya). Bolehkah Ustaz jelaskan apakah jenis-jenis penyakit yang boleh dilakukan oleh makhluk ini kepada manusia?

Jawapan:
Berdasarkan kepada nas-nas yang sahih, khususnya daripada al-Quran dan sunnah nabawiyyah bahawa Allah SWT menjelaskan makhluk halus seperti jn, ifrit dan sebagainya boleh menyebabkan pelbagai penyakit ke atas anak Adam dalam keadaan dan masa tertentu.

 Berdasarkan surah al-A’raf ayat 200, syaitan boleh mengenakan kepada manusia al-Nazghu atau menipu dan menghasut untuk melakukan kejahatan. Ertinya, golongan syaitan boleh menipu dan menghasut manusia sehingga kepada perbuatan membunuh.

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim mengisahkan tentang seorang pemuda yang baru berkahwin menyertai Rasulullah SAW mengorek parit dalam peperangan Ahzab. Pada waktu tengah hari beliau memohon izin daripada Rasulullah SAW untuk pulang, namun Rasulullah SAW keberatan untuk mengizinkannya. Atas desakannya, dia diizinkan oleh Rasulullah SAW. Bagaimanapun Rasulullah SAW mengingatkan kepada pemuda tersebut supaya membawa senjata.

Apabila sampai di rumah, beliau mendapati isterinya berada di luar rumah. Dilihat dalam rumahnya ada seekor ular hitam yang besar lalu pemuda tersebut terus menusuk ular itu dengan tombaknya. Ular itu menggelupur dan dengan tidak semena-mena, pemuda tersebut turut menggelupur. Akhirnya ular dan pemuda tersebut menemui ajal.

Apabila peristiwa ini dimaklumkan kepada Rasulullah SAW, baginda menyatakan bahawa ular itu adalah jelmaan jin.

Suatu peristiwa lain, Ya’la bin Murrah menceritakan sebuah kisah daripada bapanya, suatu ketika seorang perempuan telah membawa anaknya yang berpenyakit al-lamam (akal yang bercelaru atau gila). Rasulullah SAW menepuk belakangnya. Pemuda itu memuntahkan objek kehitam-hitaman dan objek itu terus menghilang. Selepas itu, pemuda ini kembali siuman seperti biasa. Hadis ini terdapat dalam Musnad Imam Ahmad.

Daripada kisah di atas menunjukkan terdapat sebahagian penyakit boleh dicetuskan syaitan ke atas manusia.

Soalan:

BAGAIMANAKAH MENCEGAH PENYAKIT BAWAAN MAKHLUK HALUS?

Apakah cara-cara yang disarankan oleh syarak agar manusia boleh menghindari atau mengubati penyakit-penyakit yang disebabkan oleh makhluk halus? Apakah saranan atau petunjuk daripada Rasulullah SAW?

Jawapan:

Al-Quran menerangkan makhluk halus berupaya memudaratkan manusia disebabkan lazimnya mereka menganggap manusia adalah musuh mereka. Apabila hidup bermusuhan, maka berbagai-bagai masalah akan timbul dalam masyarakat manusia.

Islam sebagai agama yang syumul telah mengajar manusia pelbagai ilmu termasuklah ilmu untuk menghindarkan diri daripada gangguan makhluk halus sebagaimana yang terdapat dalam al-Quran khususnya tiga suruh yang terakhir dalam al-Quran iaitu surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah al-Nas.

`Ai’syah RA menyatakan bahawa Rasulullah SAW telah mengajarnya supaya membaca ketiga-tiga surah tersebut sambil menadah tangan seperti berdoa. Selepas habis bacaan itu, tiup pada tapak tangan. Kemudian sapulah kedua-dua tapak tangan itu ke seluruh badan sebagai suatu permohonan perlindungan daripada Allah SAW ketika hendak tidur.

Surah al-Ikhlas memberi mesej bahawa kita hendaklah membulatkan keimanan kepada Allah Yang Esa tanpa sebarag keraguan dan kepada Allah SWT sahajalah tempat memohon segala pertolongan.

Manakala surah al-Falaq pula adalah untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT yang mengatur semua makhluk, supaya dihindari daripada semua kejahatan makhluk-Nya, sama ada kejahatan pada waktu kegelapan malam, kejahatan tukang sihir yang meniup dengan nafasnya ataupun daripada orang yang berhasad dengki.

Sementara surah al-Nas pula adalah untuk memohon perlindungan daripada bisikan dan kejahatan syaitan yang sentiasa mengajak manusia melakukan pelbagai perkara yang tidak diizinkan oleh Allah SWT.
Ketiga-tiga surah ini digunakan untuk menghindari atau mengubati manusia yang terkena perbuatan makhluk halus.

Dalam sebuah hadis sahih, Nabi Muhammad SAW pernah cuba disihir oleh seorang Yahudi yang bernama Labid bin al-A’sam. Jibrail AS datang menajar Nabi bagaimana hendak menghindar dan mengubati sihir tersebut iaitu membaca al-Mu’awwidhat(tiga surah tadi) dengan dijadikan amalam atau bacaan setiap hari. Selain itu, amalkanlah Ayat Kursi dan sebagainya.

Maka dengan ini sudah jelas, bahawa Islam mempunyai cara untuk mengatasi masalah yang saudara sebutkan.

Soalan:

BAGAIMANAKAH CARA MENGATASI GANGGUAN SAKA?

Jawapan:

Gangguan saka boleh diatasi dengan melakukan amalan-amalan yang boleh memperkukuhkan jati diri Muslim seperti sentiasa berpegang kepada hukum-hukum Allah SWT, membaca al-Quran khususnya surah-surah yang sabit keberkesanannya dan dibaca pada masa-masa tertentu seperti mengamalkan membaca surah al-Baqarah, surah al-Jin, surah Fussilat, surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah al-Nas dan zikir-zikir yang ma’thur. Zikir ini boleh di dapati dalam pelbagai versi percetakan.

Namun perkara yang paling penting adalah hati mesti sentiasa mengingati Allah SWT. Sama ada berzikir dengan lidah, hati atau dengan akal yang sentiasa memikirkan kebesaran Allah SWT. Semua cara yang disebutkan di atas boleh digunakan untuk mengatasi saka.

Soalan:

BOLEHKAH MENGGUNAKAN TANGKAL YANG DITULIS DENGAN AYAT-AYAT AL-QURAN?

Saya pernah bertanya beberapa orang ustaz tentang penggunaan tangkal yang ditulis ayat-ayat al-Quran dan dipakai untuk berlindung diri daripada kejahatan jin dan manusia. Bolehkah saya menggunakannya?

Jawapan:

Pada zaman permulaan Islam, amalan memakai tangkal untuk berlindung daripada kuasa jahat merupakan amalan biasa bagi kebanyakan masyarakat Jahiliah.
Rasulullah SAW telah mengharamkan penggunaan tangkal dan menggantikannya dengan ayat-ayat al-Quran dan doa-doa khusus untuk memohon daripada Allah SWT untuk menghindari diri daripada sesuatu yang tidak diingini.

Ulama-ulama muktabar berpendapat seperti yang disebut dalam Kitab al-Fatawa al-Dhahabiyyah (Fatwa-fatwa yang amat berharga), “Adapun penulisan ayat-ayat al-Quran dan nama-nama Allah SWT untuk dijadikan tangkal, maka ulama berselisih pendapat. Di kalangan ulama salaf ada yang mengharamkannya secara mutlak dan ada sedikit yang mengharuskannya dengan syarat-syarat khusus”

Pendapat yang paling sahih, penggunaan tangkal sama ada al-Quran atau tidak adalah dilarang dalam hadis-hadis terdahulu, sedangkan keharusan yang Rasulullah SAW sebutkan pada para sahabaq itu semasa permulaan Islam. Demi menegak daripada keburukan-keburukan yang boleh menjejaskan iman, penggunaan tangkal dilarang sama sekali walaupun menggunakan ayat al-Quran kerana:

1. Mencegah daripada keburukan yang lebih besar.
2. Menjaga kesucian al-Quran daripada terbawa ke tandas.
3. Membuatkan keyakinan bahawa Allah SWT yang melindungi manusia daripada segala-galanya.

Soalan:

APAKAH HUKUM MENGGUNAKAN TANGKAL YANG DITULIS AYAT-AYAT AL-QURAN UNTUK TUJUAN KESEMBUHAN PENYAKIT?

Menurut kata seorang ustaz,  harus menulis ayat-ayat al-Quran untuk digantungkan pada badan yang menjadi penghalang daripada gangguan makhluk halus dan sebagai ikhtiar menyembuhkan penyakit. Apakah pandangan Ustaz mengenai perkara ini?

Jawapan:

Menggantungkan sesuatu di badan untuk dijadikan sebagai penghalang daripada gangguan makhluk halus atau untuk menyembuhkan penyakit boleh dibincangkan kepada dua bahagian yang utama.

Pertamanya, penggunaan tangkal menggunakan bahan seperti tulang binatang atau kayu yang mempunyai hikmat dan sebagainya. Dalam hal ini, para ulama berpendapat perbuatan ini tidak diharuskan.

Keduanya, mengenai penggunaan ayat-ayat al-Quran yang dilipat dan digantung serta dijadikan tangkal yang dipakai di badan dengan tujuan untuk melindung diri daripada syaitan atau untuk menyembuhkan penyakit.
Dalam hal ini, ulama-ulama terdahulu hingga ke hari ini mempunyai pendapat yang berbeza. Satu golongan mengatakan perbuatan ini tidak harus dan satu golongan lagi mengatakan perbuatan itu harus.

Golongan ini berhujah dengan kaedah fiqah yang terkenal disebut dengan sadd al-Zarai’ iaitu mencegah daripada kerosakan, khususnya kerosakan aqidah. Kaedah ini membolehkan kita melarang, mencegah daripada melakukan suatu perkara yang boleh membawa kepada syirik. 

Menggunakan tangkal untuk mengelak atau mempertahankan diri daripada sesuatu yang tidak diingini boleh membawa kepada terpesongnya iktikad ataupun tawakal kepada Allah SWT. Wajib bergantung kepada Allah SWT sahaja, tidak kepada yang lain walaupun kepada ayat al-Quran.

Perbuatan sebegitu juga membawa maksud bahawa kita telah menghina al-Quran kerana membawanya bersama kita ke tempat yang tidak suci seperti tandas, melakukan kerja yang bercanggah seperti maksiat dan sebagainya. Perkara itu tidak wajar dilakukan. Kesemua perbuatan ini menggunakan ayat al-Quran sebagai tangkal atau disembunyikan ayat tersebut dalam perhiasan wanita seperti rantai loker, haram hukumnya mengikut golongan yang pertama ini. Golongan yang berpendapat seperti ini adalah sahabat Rasulullah SAW seperti Abdullah ibni Mas’ud, Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain.

Golongan yang kedua pula berpendapat harus berbuat begitu. Pendapat ini disokong oleh Abdullah bin Amru bin al-`Ass, Abu Jaafar al Baqir dan Imam Ahmad bin Hanbal. Mereka berpendapat perbuatan ini harus kerana pada zaman Rasulullah SAW terdapat sahabat yang berbuat begitu untuk anak-nak mereka yang belum boleh menghafaz al-Quran.

Meskipun terdapat dua pandangan daripada kalangan sahabat dan ulama, satu golongan mengharuskan dan golongan kedua pula tidak mengharuskan, namun perubahan zaman boleh membawa kepada perubahan hukum, khususnya bagi kes seperti dalam soalan yang terjadi pada zaman ini.

Pada zaman kini, aqidah umat Islam semakin terancam. Keimanan manusia begitu rapuh, mudah rosak dan mudah terdedah kepada kesyirikan dan kekufuran disebabkan zaman ini dipenuhi dengan kemaksiatan kepada Allah SWT. Umat Islam pada hari ini kekurangan ilmu yang membawa kepada kerapuhan agama, kecelaruan dalam pegangan hukum sehingga ramai yang melakukan pelanggaran hukum secara sengaja.

Pada zaman ini, umat Islam tidak begitu kuat bergantung kepada Allah SWT kerana amat  terdedah kepada gejala-gejala yang mendorong mereka lebih mengutamakan kenikmatan hidup sementara. Manusia tidak lagi mempedulikan soal halal haram yang sementara tanpa memikir kebahagiaan akhirat yang kekal abadi.

Oleh yang demikian, perbuatan mengharap kepada tangkal akan menyebabkan umat Islam terjerumus dan terdoorng kepada pelbagai kerosakan sekiranya tidak dibendung atau dicegah dengan sebaik mungkin.
Ayat-ayat al-Quran secara umumnya bukan digunakan untuk digantung atau dijadikan tangkal. Al-Quran digunakan untuk diamati maknanya, difahami tuntutannya, dipraktikkan hukumnya dan dijadikan panduan kehidupan untuk mendapat keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat.

Ayat-ayat al-Quran juga diturunkan untuk dibaca dan dihafal, dibaca untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT dan membentuk jati diri untuk mentaati Allah SWT.

Bagi tujuan melindungi diri daripada gangguan syaitan, perbuatan ini memang dibolehkan atau diharuskan khususnya membaca al-Mu’awwidhat (surah al-Ikhlas, surah al-Falaq, surah al-Nas), Ayat Kursi dan sebagainya. Ayat-ayat ini boleh diamalkan untuk menjadi penghalang daripada sesuatu yang tidak diingini.

Soalan:

BENARKAH KAYU KOKA BOLEH MELINDUNGI DIRI DAN MEMURAHKAN REZEKI?

Bolehkah Ustaz terangkan mengenai kayu Koka? Betulkah kayu ini digunakan oleh Nabi Nuh AS untuk membuat kapal dan Nabi Musa AS menggunakan tongkat yang diperbuat daripada kayu Koka? Ramai yang sanggup membeli kayu Koka yang berbentuk tongkat, tasbih, dan batu cincin dengan harga yang tinggi. Kayu ini dikatakan menjadi pengadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Adakah terdapat dalil al-Quran atau al-Sunnah mengenai hal ini?

Jawapan:

Saya pernah melihat kayu Koka dalam pelbagai bentuk. Saya pernah dihadiahkan kayu tersebut. Saya juga pernah membaca sebuah buku terbitan Malaysia tang menyebut tentang penggunaan dan kebaikan kayu Koka seperti yang saudara sebutkan.

Saya tidak pernah mendengar tentang kayu ini melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini. Seorang pelajar puland dari Jordan bertemu saya dan memperkenalkan kayu Koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai dan menggunakannya. Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesion lain selain daripada menjual kayu Koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin menjadi-jadi. Saya melihat ramai orang memakai batu cincin yang diperbuat daripada kayu ini.

Pada pandangan saya, semua benda yang dikaitkan dengan kuasa madi seperti kayu, batu dan sebagainya yang dipercayai boleh memberi kecelakaan ataupun manfaat, dilarang oleh Islam.

Sekiranya hanya dipakai untuk perhiasan seperti membuat batu cincin atau gelang, tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan, maka diharuskan.

Oleh kerana penggunaan kayu Koka ini boleh menjadikan pembeli atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, ramai yang tertipu dengan penerangan tersebut lantas membelinya tanpa berfikir secara rasional.

Sekiranya berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya lalu memakai kayu ini dan rezekinya menjadi murah lantas dia mengaitkan rezeki yang murah itu kerana memakai kayu tersebut, jelaslah dia telah syirik kepada Allah SWT. Tidak ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah SWT sahaja.

Kayu Koka mungkin mempunyai khasiat khusus dalam perubatan yang termask dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, sesuai mengubati penyakit tertentu, ia termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit. Perubatan begini diharuskan kerana terdapat hadis-hadis Nabi SAW yang merujuk kepada rawatan penyakit dengan memakan ubat.

Nabi SAW pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (habbat al-Sawda’), jintan hitam, jenis tanaman seperti assina dan assinut. Dalam al-Quran juga ada menyebut buah-buahan seperti al-Tin, al-Zaitun, al-Rahman, al-Nakhil. Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.

Persoalan saya terhadap pengguna kayu Koka atau apa sahaja kayu, mengapakah pengguna yang memiliki kayu itu tidak menggunakannya untuk dirinya sahaja? Mengapakah dia menjualkannya kepada orang lain?
Barangkali pengguna tersebut tidak begitu yakin dengan khasiatnya, lalu menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapatkan wang ringgit.

Saya amat meragui khasiat kayu ini yang dikaitkan boleh menjadi pengadang kepada jin, syaitan dan sebagainya. Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari sekiranya dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.

Dalam suatu hadis, Rasulullah pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Bagina mendapati `Umar al-Khattab RA membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah SWT dengan suara yang amat lantang.
Keesokan harinya Nabi SAW bertemu `Umar dan berkata kepadanya “ Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapakah kamu buat demikian”

`Umar menjawab; “Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang mengganggu saya.” Lalu Nabi SAW berkata kepada `Umar,”Perlahankanlah sedikit”.

Kesimpulannya, hanya dengan bergantung sepenuhnya kepada Allah SAW sahajalah dapat menjauhkan diri kita daripada syaitan dan hanya Dia sahaja yang memberi rezeki kepada hamba-Nya.


Soalan:

APAKAH HUKUM MERAWAT SIHIR DENGAN SIHIR?

Apakah hukum mengubati orang yang terkena sihir dengan melakukan pengubatan menggunakan sihir atau dengan kata lain, sihir melawan sihir?

Jawapan:

Orang yang terkena sihir merupakah mereka yang sedang diuji oleh Allah SWT. Ikhtiar penyembuhannya hendaklah melalui cara yang dibenarkan oleh syarak iaitu seperti menggunakan rawatan dengan bacaan doa-doa yang ma’thur.

Salah satu cara pengubatan seperti yang disebutkan dalam hadis-hadis dengan menggunakan daun biadara yang ditumbuk dengan batu, dimasukkan ke dalam air, dan didoakan dengan doa-doa daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW. Air tadi dibuat minum dan dimandikan ke atas pesakit.

Menggunakan sihir untuk mengubati sihir diistilahkan dalam syarak sebagai al-Nusyrah yang bermaksud mengubati sihir dengan sihir. Sihir merupakan amalan yang ditegah dan diharamkan oleh Islam kerana amalan ini membawa kepada syirik.

Jika kita mengetahui orang tersebut ahli sihir dan menggunakan khidmatnya, maka kita bersubahat dengan ilmu yang dilarang oleh Islam.

Banyak perkara yang boleh menjerumuskan seseorang kepada tunjuk ajar ahli sihir. Contoh yang sering berlaku dalam masyarakat, terdapat bomoh atau dukun yang meminta menyembelih seekor ayam atau seekor kambing dan  menggunakan darah daripada haiwan tersebut untuk mengubati sesuatu penyakit.

Perbuatan menyembelih binatang kerana syaitan atau sihir ini jelas perbuatan yang mensyirikkan Allah SWT yang Maha berkuasa.

Kesimpulannya, haram hukumnya mengubati sihir dengan sihir.

Soalan:

BAGAIMANAKAH MERAWAT  PENYAKIT SIHIR?

Bagaimanakah ikhtiar yang dibenarkan oleh syarak untuk mengubati pesakit yang terkena sihir?

Jawapan:

Penyakit yang disebabkan oleh sihir berlaku di alam rohani. Kebanyakan sihir dilakukan secara tersembunyi, khususnya pada waktu malam. Sihir diamalkan secara langsung, maka sudah tentu tidak mudah untuk mengubatinya.

Antara ikhtiar untuk mengubati sihir adalah seperri berikut:

Menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk menentang sihir seperti yang telah saya sebutkan sebelum ini. Terdapat banyak ayat al-Quran menyentuh tentang sihir yang berlaku dalam kehidupan manusia. Contohnya ialah apabila sihir berlaku secara berleluasa pada zaman Nabi Allah Musa AS, baginda menghadapi sihir sehingga ahli-ahli jecybdabgm menyerah kalah dan beriman kepada Nabi Musa.

Kitab-kitab karangan ulama muktabar menyarankan kita membaca 11 ayat daripada surah al-Baqarah iaitu ayat 1 hingga 5, ayat 225 hingga 257 dan tiga ayat terakhir surah al-Baqarah.

Ada juga ulama yang menyarankan agar kita membaca surah al-Fathihah, ayat 225 surah al-Baqarah, ayat 117 hingga 119 sihir ataupun orang yang mengubati penyakit akibat sihir dengan memohon perlindungan daripada Allah SWT.

Soalan:

APAKAH SANTAU? BENARKAH IA DIBUAT UNTUK MENGANIAYA ORANG?

Masyarakat Melayu sering dikaitkan dengan perbuatan santau. Apakah maksud Penyakit santau? Adakah santau wujud di alam nyata? Benarkah santau boleh dibuat untuk dijual dan dikenakan kepada orang lain.

Jawapan:

Santau adalah suatu istilah penyakit yang terkenal dalam masyarakat Melayu khususnya di Nusantara. Penyakit yang tergolong dalam nama santau itu memang wujud.

Kebiasaannya penyakit itu dikenali berdasarkan tanda-tanda zahir yang dialami oleh pesakit seperti budak batuk berpanjangan dalam tempoh berbulan-bulan, kadang-kadang bertahun batuk tetap tidak hilang walaupun setelah makan pelbagai ubat.

Kesan santau juga seperti batuk berdarah, hilang selera makan, badan menjadi kurus, kulit berkedut-kedut, kuku kebiru-biruan, di sekeliling mata kebiru-biruan, tidak bermaya, sejuk kaki tangan khususnya pada waktu petang, murung, tidak ceria dan sebagainya.

Walaupun berlaku penyakit sedemikian, tidak semestinya ia disebabkan santau. Kadang-kadang ia disebabkan masalah fizikal yang lain seperti penyakit paru-paru berair, tonsol kronik, sakit TB, keracunan dan sebagainya.

Bomoh akan memberitahu individu tersebut bahawa ada orang memberi makan sesuatu, ataupun memakan ramuan yang terdapat di dalamnya.

Apakah santau? Saya sendiri tidak dapat mengenalinya secara tepat. Cuma hasil daripada maklumat atau percakapan orang ramai, kononnya santau diperbuat daripada bahan yang amat berbisa. Dikatakan santau diperbuat daripada bulu ulat bulu yang mati merana(beragan), dicampurkan dengan bisa ular, lipar atau kala jenging dan dicampurkan juga dengan kaca halus daripada bal lampu kalimantang yang ditumbuk halus.

Setelah melalui proses adunan dan dikeringkan, ia dijadikan serbuk untuk diletakkan ke dalam makanan atau minuman, Namun ini adalah cerita lisan, tiada orang yang boleh mengesahkannya santau yang sebenar ataupun tidak. 

Sekiranya ada yang membuat santau, sudah tentu dia merahsiakannya dan tidak mungkin dia mendedahkan rahsianya kepada orang lain.

Adakah wujud orang yang sanggup membuatnya dengan tujuan menganiayai orang lain semata-mata dengan sedikit bayaran dunia? Tidakkah mereka takut kepada dosa dan sebagainya?

Pada zaman ini, manusia menjadi makhluk yang serba boleh, serba jadi. Mereka sanggup mendera isteri, mendera orang gahi, membunuh diri, mendera keluarga dan rakan serta melakukan pelbagai kemusnahan.Manusia menjadi haiwan, malah lebih teruk daripada haiwan.

Oleh itu, santau adalah salah satu daripada kekejaman manusia. Namun yang penting, santau mempunyai tanda-tanda penyakit yang jelas iaitu orang yang disantau akan mengalami sakit. Setiap penyakit ada penawarnya.

Berubatlah dengan cara yang betul. Apabila Allah SWT membuka ruang kesembuhan dan bertepatan dengan sifat hasad dengki manusia.

Jawapan:

BOLEHKAH MENGAMALKAN ILMU YANG DIPEROLEH DARIPADA MIMPI?

Saya pernah bermimpi bertemu dengan seorang alim, berjubah, berserban, bertasbih, mukanya bersih bercahaya serta berbau wangi bila mendampinginya. Orang alim tersebut mengajar saya ilmu hikmah, termasuk cara mengubati orang yang sakit dengan syarat-syarat berikut:

1. Berpuasa sunat selama 14 hari berturut-turut.
2. Bersolat tahajud pada malam-malam hari yang saya berpuasa itu tanpa boleh berhenti atau berselang selama 14 malam berturut-turut.
3. Menjamu 40 orang anak yatim.
4. Menyembelih seekor kambing untuk dijamu kepada jiran tetangga.
5. Berzikir selama seminggu tanpa henti siang dan malam. Selepas itu saya boleh mengubati orang.

Apakah pandangan Ustaz tentang perkara ini? Bolehkah saya menerima dan mengubati orang sakit dengan amalam-amalan ini?

Jawapan:

Mimpi adalah permainan tidur. Kebanyakan mimpi berlaku hasil daripada khayalan, imaginasi manusia tentang sesuatu hal dan gambaran yang amat diingini atau ditakutinya. Mimpi juga biasanya mainan syaitan yang ingin menyesatkan manusia melalui mimpi. Sesuatu yang berlaku dalam mimpi itu jarang sekali menggambarkan yang sah ataupun yang benar.

Mimpi-mimpi yang benar ini amat jarang berlaku. Kadangkala dilihat sabagai benar, namun apabila diteliti ia tidak benar sama sekali.

Mimpi manusia biasa tidak serupa dengan mimpi para Anbia dan al-Mursalin. Mimpi para Anbia dan al-Mursalin adalah benar sedangkan mimpi manusia biasa lebih banyak terdedah kepada pelbagai penipuan iblis.

Merujuk kepada mimpi yang saudara sebutkan, pada zahirnya ia suatu yang wajar diikuti kerana mimpi itu merujuk kepada meminta agar saudara melakukan semua perkara yang disyariatkan.
Tetapi persoalannya adakah saudara tidak pernah mendengar tentang perkara yang dianjurkan dan dgalakkan oleh syarak itu?

Jika pernah, mengapa apabila disuruh oleh orang alim dalam mimpi itu baru saudara ingin melakukannya? Siapakah yang saudara temui dalam mimpi itu, adakah dia insan sebenar atau syaitan yang menyerupai orang yang anda kagumi itu?

Oleh yang demikian, ada dua kemungkinan sama da arahan dalam mimpi itu benar daripada orang yang benar-benar bertaqwa kepada Allah SWT atau berkemungkinan hanya lakonan Iblis. Saya menasihati saudara jangan mengambil risiko kerana mentaati mimpi amat terdedah kepada risiko yang begitu besar, iaitu melakukan ibadah bukan kerana Allah SWT tetapi kerana syaitan.

Sekiranya ditakdirkan orang yang ada mimpi itu suatu penjelmaan makhluk halus atau qarin atau apa sahaja namanya yang sengaja hendak mempengaruhi saudara melakukan ibadah bukan keran Allah SWT, tetapi kerana mimpi dan melakukan hanya kerana hendak menjadi seorang perawat yang hebat, untuk tujuan keduniaan semata-mata, saudara telah melakukan syirik kepada Allah.

Seandainya saudara mempunyai minat begitu mendalam untuk melakukan kerja-kerja kebaikan, lakukanlah kerana Allah SWT, sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran al-Sunnah, al-Ijma` dan pelbagai sumber hukum lain yang menyeru kita melakukan ibadah yang disebutkan tadi dan bukannya kerana mimpi.

Dalam konteks ini, sudah ramai ulama dalam masyarakat yang boleh membantu saudara melakukan ibadah. Jika saudara memerlukan kepada orang yang boleh mendampingi dan menunjuk ajar ilmu perubatan sama ada perubatan alopati atau berasaskan doa dan ayat-ayat al-Quran, saudara boleh mendapatkannya dengan mudah. Jangan ambil ilmu daripada mimpi yang saudara sendiri tidak pasti siapakah yang saudara temui dalam mimpi itu.

Soalan:

BENARKAH AMALAN KITA SELAMA 40 HARI DITOLAK SEKIRANYA MEMPERCAYAI TUKANG TILIK & BOMOH?

Saya ingin meminta pandangan Ustaz tentang amalan perbomohan Melayu yang melibatkan perbuatan syirik kepada Allah SWT serta amalan sihir yang berterusan. Adakah pihak berkuasa tidak mengetahui hal ini dan mengapakah tidak ada tindakan yang berkesan daripada pihak tersebut untuk mengatasinya?

Jawapan:

Soalan dan kenyataan saudara mengenai perkara tersebut memang ada kebenarannya. Amalan-amalan yang berkait rapat dengan sihir dan syirik sememangnya mengundang dosa besar dan perkara ini memang diakui masyarakat dan orang ramai.

Sebagai orang awam, saudara dan saya memang mengetahui kewujudan perkara ini. Sekiranya orang awam mengetahuinya, sudah tentu pihak berkuasa lebih mengetahui perkara ini.

Dalam hal ini, tidak perlu dilakukan penyiasatan yang rumit kerana mereka melakukan amalan terbuka, sesiapapun boleh melihat dan boleh mendapatkan khidmat bomoh.

Dalam amalan ini jelas menunjukkan bahawa pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan, melainkan stelah menerima laporan daripada pihak yang menjadi mangsa perbomohan. Sebagai contoh, apabila berlaku kes bomoh memperkosa pesakit, melakukan sesuatu di luar tabii, barulah pihak berkuasa akan mengambil tindakan.

Namun gejala syirik yang berlaku dalam dunia perbomohan tidak pernah ada peruntukan undang-undang untuk pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas orang yang melakukan sihir dan syirik kepada Allah SWT.
Janganlah sesekali kita berjumpa dengan orang sedemikian. Jika kita pergi juga, akibatnya Allah tidak akan menerima amalan kita selama 40 hari. Sekiranya kita mendatangi tukang tilik tujuan untuk seronok-seronok sahaja dan tidak percaya kepadanya, amalan kita tetap tidak diterima selama 40 hari.

Seseorang yang mempercayai apa yang disebut oleh `arraf telah kufur dengan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW. Banyak hadis yang menyebut tentang Sahir atau Munajjim. Semua gelran itu merujuk kepada orang yang membawa perkara buruk serta mengundang dosa besar dan syirik.

Individu seperti saya hanya mampu menyedarkan masyarakat melalui mesej-mesej dakwah dengan menyatakan bahawa perbuatan sedemikian amat merugikan dan tidak mendapat habuan di akhirat dan bahkan disediakan azab api neraka.

Berkaitan dengan soalan saudara, saya mengesyorkan pihak berwajib mengambil tindakan yang bersesuaian dan konsisten untuk menangani perkara ini agar dapat dikurangkan dan dibasmi sepenuhnya untuk menjaga aqidah umat Islam.

Soalan:

ADAKAH QARIN DAN SAKA ITU SAMA? BAGAIMANAKAH UNTUK MENGATASI GANGGUAN MEREKA?

Saya ada mendengar tentang perkataan saka yang dirujuk kepada gangguan makhluk halus ke atas seseorang. Gangguan ini dikatakan berpunca daripada keturunan, mendampingi seseorang dan sentiasa meminta pelbagai permintaan atau mengenakan pelbagai keburukan. Adakah isitlah qarin dan saka ini sama dan apakah cara terbaik untuk mengatasi hal ini apabila ia berlaku?

Jawapan:

Saka adalah suatu istilah yang kebiasaannya digunakan oleh pengubat atau bomoh tradisional yang merujuk kepada suatu fenomena gangguan spiritual yang berlaku ke atas manusia. Kebanyakannya gangguan ini berlaku ke atas kaum wanita namun kaum lelaki juga tidak terkecuali. Saka ini dikaitkan dengan maklhluk yang kononnya diamanahkan untuk menjaga seseorang. Bagi tujuan tersebut, berbagai-bagai gangguan spiritual berlaku. Gangguan seperti ini dikenali sebagai gangguan makhluk halus.

Saka ini kononnya dikaitkan dengan makhluk yang berdampingan dengan keturunan bapa, ibu, datuk atau nenek seseorang yang menjaga atau bersahabat dengan makhluk ini. Makhluk tersebut dipesan supaya menjaga dan mengawal anak cucu mereka selepas kematian individu mereka.

Hasil perjanjian itulah berlakunya masalah gangguan spiritual yang diistilahklan sebagai saka.

Saya tidak dapat menentukan tentang saka secara tepat sama ada betul atau tidak saka ini makhluk yang mendapingi manusia dan keturunan mereka sehingga mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Jika benar saka (makhluk halus) itu sahabat, kawan atau pendamping orang-orang terdahulu, sepatutnya makhluk ini tidak berubah perangai. Saka dipesan untuk menjaga dan melindungi anak cucu seseorang, namun tiba-tiba berlaku sebaliknya, sehingga menyakiti dan mengganggu seseorang sehingga menyebabkan keturunan mereka menjadi separuh gila atau separuh sedar.

Jika betullah itu saka, saka sebenarnya tidak akan menimbulkan masalah dan mengganggu keturunan tuannya. Walapun begitu, syariat Islam tetap melarang keras bersahabat, berbuat baik, berdampingan dengan makhluk halus walau apa sahaja tujuannya.

Banyak ayat al-Auran yang menggesa manusia supaya menjauhi dan berlindung diri daripada syaitan kerana syaitan ialah musuh yang nyata bagi umat manusia.

Berbalik kepada seseorang yang diganggu oleh makhluk halus, sudah jelas makhluk tersebut ialah musuh kerana menyakiti, mengganggu dan melakukan perkara yang tidak diingini oleh manusia. Kesemua perlakuan itu menimbulkan kesan yang negatif kepada manusia.

Kita wajib menjauhi mereka. Saka sememangnya bukan sesuatu yang baik kepada manusia. Ia hendaklah dirwat secepat mungkin dengan cara-cara yang diharuskan oleh syarak bagi mengelakkan saka ini terus-menerus mengganggu manusia.

Hadis daripada `A’isyah RA berkata, “Ketika Rasululah SAW berada bersama dengan saya, baginda keluar meninggalkan saya kerana ada suatu urusan pada malam hari. Tiba-tiba timbul perasaan cemburu dalam hati saya. Apabila Rasulullah SAW kembali menemui saya, baginda mengetahui perasaan saya itu, maka baginda bertanya, apakah gerangan mu wahai `A’isyah? Adakah kamu cemburu? Maka saya menjawab, manalah orang seperti saya ini tidakk cemburu ke atas mu wahai Rasulullah SAW. Maka Rasulullah SAW menyebut kepada saya, apakah kamu telah dikuasai oleh syaitanmu wahai `A’isyah. Maka saya menjawab, ya Rasulullah, adakah bersama saya ada syaitan? Rasulullah SAW menjawab ya, malah pada tiap-tiap insan ada syaitannya, Saya bertanya kepada Rasulullah SAW, Adakah kamu juga ada syaitan? Jawab baginda, ya, tetapi Allah SWT telah membantuku, aku Islamkan dia dan tidak menyuruhku melainkan untuk kebaikan.”

Hadis-hadis sebegini adalah hadis sahih yang menunjukkan qarin itu sebenarnya ialah syaitan yang mendampingi semua manusia. Sekiranya Rasulullah SAW pun didampingi oleh qarin ini, inikan pula kita insan biasa.

Oleh yang demikian, jelaslah qarin ini wujud pada setiap orang dan peranan qarin ini bergantung kepada seseorang insan itu. Jika qarin belum boleh menguasai dirinya dengan melakukan kemaksiatan, qarin ini seolah-olahnya berputus asa untuk mengajaknya melakukan kejahatan, melainkan sekali-sekala sahaja.
Adapun orang yang mudah mendedahkan dirinya kepada perbuatan maksiat, qarin inilah yang menjadi pendorong utama. Pada pandangan saya, qarin ialah makhluk halus yang jahat.

Tidak salah sekiranya mengatakan kita semua da saka, tetapi saka yang saya maksudkan ialah saka yang sedia ada, bukan yang dipelihara oleh keturunan, bukan disuruh oleh seseorang melakukannya tetapi kerana tabiat makhluk ini memang sentiasa berusaha menjerumuskan manusia kepada kejahatan.